Dan dia pun beredar dari situ, masih menahan amarah. Dunia dirasakan terbalik menghempap diri tatkala melihat biliknya umpama tongkang pecah. Bilik yang dikongsi bersama tiga orang pelajar itu berserakan dengan cebisan kertas warna-warni. Perasaan marah dan tidak puas hati memenuhi jiwanya kerana dia sukakan kekemasan, bukannya suasana berserakan seperti itu.
“Alia, maaflah, nanti aku kemaskan bilik ni, bukan apa, aku malas nak pergi study room untuk buat kerja ni,” ucap Mai yang merasakan perubahan pada teman sebiliknya tatkala Alia kembali ke dalam bilik tersebut. Alia mendiam seribu bahasa dan merebahkan tubuhnya di atas katil, berpura-pura tidur. Begitu sekali rajuknya.
******
“Mai, aku lihat Alia tu masam mencuka saja kebelakangan ni, kau tahu kenapa?” tanya Dini suatu hari. “Entah lah Dini, ada lah tu dia tak puas hati dengan aku atau korang, dia kan terlebih sensitif. Tapi, salah aku juga, dah tahu dia macam tu, aku buat benda-benda yang dia tak suka, apa lagi, merajuk sakan lah cik puan tu,” getus Mai turut mencurahkan rasa yang terpendam. “Sabar saja lah, kadang-kadang sensitif Alia tu melampau-lampau, entah lah, aku pun tak tahu nak kata apa lagi, kalau ditegurnya dia, mahu putus kawan aku dengan dia,” balas Dini. Dua sahabat baik itu masing-masing menggelengkan kepala dan meneruskan santapan di cafe sekolah.
******
“Siti, kenapa kau letak beg kau atas katil aku, hah? Kau kan tahu aku tak suka orang selerakkan katil aku, tempat aku!” tengking Alia apabila Siti masuk ke dalam bilik. “Alia, aku minta maaf okay, aku dari kelas, sampai ke bilik tadi tiba-tiba nak ke tandas, aku tak sedar aku tinggalkan beg atas katil kau, alah, sekejap saja pun, yang kau nak marah-marah sangat ni kenapa?” balas Siti. Alia cuma menjeling dan berlalu keluar dari bilik tersebut. Kebetulan, Dini dan Mai baharu sahaja pulang dari kelas dan menyedari suasana tegang dalam bilik 121 itu.
“Siti, ada benda dia tak puas hati lagi kah?” soal Mai. “Macam biasalah, dia kan diva, mana boleh orang tinggalkan barang-barang kat tempat dia, sentuh barang-barang dia,” ujar Siti sambil mencebikkan pipi. “Em, bila lah perangai Alia tu nak berubah, ya lah, kita bukannya sengaja nak sakitkan hati dia, kadang-kadang, dia kena lah bertolak ansur juga, kita kan tinggal sebilik,” cetus Mai. “Sebab kita sebilik lah, kita kena saling menerima dan menghormati. Mungkin lepas ni, kita elakkan daripada buat benda yang dia tak suka, kalau ada lagi yang dia tak puas hati, redha saja lah, dia tetap kawan kita,” ujar Dini seraya ke mejanya.
******
Suatu malam yang hening, Alia memetik suis lampu biliknya dan tak semena-mena nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’ bergema di bilik tersebut. Dengan perasaan terharu, Alia memeluk teman sebilik yang pernah ditengking dan dijelingnya satu persatu. Hampir-hampir menitiskan air mata atas ingatan ikhlas mereka, dia meniup lilin kek hari jadi tanda genap umurnya 16 tahun. Tanpa disangka-sangka, Alia memohon maaf atas segala kekhilafannya selama ini, “Maaflah korang, aku tak biasa tinggal kat asrama, tu yang kadang-kadang aku terlebih cerewet. Lagipun, aku anak tunggal, apa-apa kemahuan aku biasanya dipenuhi. Mulai hari ni, aku kan lebih bertolak ansur dengan korang, maafkan aku ya teman.” Dan mereka, penghuni bilik 121 hanya tersenyum memandang satu sama lain.
nukilan:
Cenderawasih Hijau
No comments:
Post a Comment